KUCHING: Pelantikan anggota tambahan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan membolehkan portfolio kementerian dilaksanakan dengan lebih berkesan, dan memastikan bidang pembangunan utama diberikan tumpuan yang sewajarnya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 merupakan perkara yang penting.
Katanya, perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks komposisi semasa MMKN yang kini terdiri daripada Premier dan 10 menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri.
“Dengan jumlah kawasan DUN meningkat daripada 82 kepada 99 susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 sebelum ini, komposisi MMKN yang ada sekarang tidak lagi seimbang dengan struktur tadbir urus negeri yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Tambahnya, beberapa menteri pada masa ini memikul lebih daripada satu portfolio sekali gus menyebabkan tanggungjawab pentadbiran dan tuntutan sektor semakin berat.
“Oleh itu, penambahan jumlah anggota MMKN adalah wajar dan perlu.
Langkah ini akan memperkukuhkan jentera eksekutif negeri, meningkatkan penyelarasan dasar dan memastikan portfolio kementerian dapat diagihkan dengan lebih seimbang.
“Kabinet yang lebih besar akan membolehkan Kerajaan Sarawak bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap keperluan rakyat.
Ia akan membolehkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih fokus dan perhatian merentasi semua sektor utama,” ujarnya.
Abdul Karim turut menekankan bahawa cadangan tersebut adalah sepenuhnya dalam bidang kuasa perlembagaan negeri.
“Di bawah Butiran 7 Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal berkaitan jentera Kerajaan Sarawak adalah dalam bidang kuasa negeri.
“Maka adalah wajar untuk Sarawak menggunakan kuasa tersebut bagi memastikan ia terus berkhidmat kepada rakyat secara berkesan melalui jumlah anggota MMKN yang seimbang dan mencukupi,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan pindaan tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan eksekutif negeri selaras dengan peluasan kawasan pilihan raya dan tanggungjawab yang semakin meningkat.
“Saya percaya pindaan ini adalah tepat pada masanya dan sangat penting,” katanya.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan merangkap ADUN Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin turut menyokong usul RUU tersebut.


