ARTIKEL

MMM, CMCF Seru Media, Pengguna Media Sosial Hormati Privasi Keluarga Mangsa Tragedi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Organisasi media, pencipta kandungan dan pengguna media sosial diseru mengutamakan empati serta menghormati privasi keluarga yang berdepan kehilangan, khususnya ketika melaporkan atau berkongsi kandungan berkaitan kematian dan tragedi.

Seruan itu dikemukakan Majlis Media Malaysia (MMM) dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menerusi kenyataan bersama yang menegaskan bahawa kepentingan awam dalam sesuatu kejadian tidak seharusnya mengetepikan maruah serta hak privasi individu yang sedang berduka.

Menurut kenyataan itu, perkembangan teknologi digital membolehkan gambar dan video daripada peranti peribadi atau akaun media sosial tersebar dengan pantas kepada khalayak lebih luas, sekali gus meningkatkan keperluan untuk semua pihak menilai kesan penyebaran kandungan berkenaan terhadap individu dan keluarga yang terkesan.

Katanya, tanggungjawab beretika bukan hanya terletak pada pihak yang merakam atau menerbitkan kandungan asal, malah turut merangkumi mereka yang berkongsi semula atau memperluas penyebarannya.

Sehubungan itu, kedua-dua badan menggalakkan organisasi media dan orang ramai memberikan ruang sewajarnya kepada keluarga yang berduka, khususnya ketika upacara pengebumian, bacaan doa, urusan pengebumian serta saat peribadi lain untuk meratapi kehilangan.

Mereka turut diseru mengelakkan rakaman atau pengambilan gambar yang mengganggu dan menceroboh privasi, terutama dalam keadaan individu berhak mengharapkan ruang peribadi mereka dihormati.

MMM dan CMCF menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan organisasi media, industri kandungan dan masyarakat umum bagi memperkukuh amalan penghasilan serta penyebaran kandungan secara bertanggungjawab.

Usaha itu bertujuan menegakkan piawaian profesional dan etika bagi membentuk persekitaran media serta kandungan di Malaysia yang berwibawa, menghormati maruah manusia dan terus mendapat kepercayaan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU