KUCHING: Gangguan bekalan air akibat kemarau berpanjangan, kekurangan tanah untuk pembinaan rumah di 14 kampung serta ketiadaan liputan telekomunikasi di empat rumah panjang antara isu utama yang memerlukan perhatian segera bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk di Kaba, Kali Kaba, Lubok Nibong, Perpat dan Kampung Paloh berlaku apabila Loji Rawatan Air Lichok tidak dapat beroperasi secara optimum akibat kemarau berpanjangan pada September lalu.
Menurutnya, keadaan cuaca panas dan kering menyebabkan paras air mentah menurun, sekali gus menjejaskan proses pengambilan air untuk dirawat dan dibekalkan kepada pengguna.
“Situasi ini menunjukkan isu bekalan air tidak boleh ditangani dengan hanya meningkatkan kapasiti loji rawatan. Kita juga perlu memastikan sumber air mentah mencukupi dan sistem bekalan mempunyai daya tahan ketika berhadapan dengan perubahan cuaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad Duri memohon Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembinaan sebuah loji rawatan air baharu di Lubok Nibong menggunakan sumber air Sungai Krian.
Katanya, kajian itu perlu merangkumi kapasiti sumber air, kos pelaksanaan, keperluan penduduk serta aspek teknikal bagi memastikan penyelesaian jangka panjang masalah bekalan air di kawasan terbabit.
“Kita tidak mahu penduduk terus berdepan dengan gangguan bekalan air setiap kali musim kemarau melanda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan masalah kekurangan tanah untuk pembinaan rumah yang dihadapi penduduk di 14 kampung sekitar pekan Saratok.
Menurutnya, kekurangan tapak tanah yang sesuai menyebabkan penduduk berdepan kesukaran membina kediaman sendiri, sekali gus memerlukan penyelesaian melalui perancangan pembangunan perumahan yang lebih teratur.
Justeru, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan pembinaan perumahan kos rendah atau mampu milik di Saratok bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sementara itu, Mohamad Duri turut meminta kerajaan memperluas liputan telekomunikasi dan Internet di kawasan pedalaman Kalaka, khususnya di Rumah Augustine Empayak, Rumah Siti Belanda, Rumah Joshua dan Rumah Christopher.


