ARTIKEL

Mohamad Duri sumbang 19 sapi korban untuk DUN Kalaka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang diraikan esok, sebanyak 19 ekor sapi disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri bagi pelaksanaan ibadah korban di kampung-kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka tahun ini.

Sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam membantu masyarakat setempat selain memastikan sambutan Aidiladha dapat diraikan dalam suasana penuh bermakna dan meriah, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, program korban bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi platform penting dalam menyemai nilai perpaduan, semangat bekerjasama dan keprihatinan sesama masyarakat.

“Pusat Khidmat ADUN Kalaka dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS) setiap tahun menyumbang ternakan korban dan kita melihat program itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk kampung yang berganding bahu melaksanakan proses penyembelihan, pengagihan daging serta aktiviti gotong-royong.

“Semangat kerjasama seperti inilah yang perlu terus diperkukuhkan kerana Aidiladha membawa pengertian besar tentang pengorbanan, keikhlasan dan kebersamaan dalam masyarakat,” katanya dalam satu sesi penyerahan ringkas di sini, hari ini.

Jelasnya, pengagihan daging korban itu dijangka memberi manfaat kepada ribuan keluarga di kawasan DUN Kalaka termasuk warga emas, ibu tunggal dan penduduk yang memerlukan.

Katanya lagi, usaha tersebut juga diharap dapat meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa masjid, surau dan penduduk kampung yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menjayakan program korban setiap tahun.

“Tanpa sokongan masyarakat dan sukarelawan di peringkat kampung, program seperti ini tidak dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Saya amat menghargai semangat gotong-royong yang ditunjukkan,” ujarnya.

Penduduk menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai bukti keprihatinan wakil rakyat terhadap kebajikan rakyat di kawasan luar bandar.

Mereka berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk pelbagai peringkat usia.

Sambutan Aidiladha di kawasan DUN Kalaka setiap tahun sememangnya meriah dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan termasuk ibadah korban yang menjadi tradisi penting dalam kalangan umat Islam di kawasan berkenaan.

Antara sapi korban yang diagihkan untuk kampung-kampung dalam DUN Kalaka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU