SIBU: Program Kembara Sains Borneo (KSB), anjuran Pusat Sains Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bakal diteruskan pada tahun hadapan.
Namun demikian, ia tertakluk kepada peruntukan kerajaan, kata Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr Aminuddin Hassim.
Katanya, penganjuran KSB tahun ini berjaya mencapai objektif untuk memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan formal dalam kalangan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Borneo.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan program pada tahun mendatang bergantung kepada bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan.
“Realitinya, KSB 2024 memberi impak yang besar dalam merapatkan jurang pendidikan STEM antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Kami berharap program ini dapat diteruskan pada tahun hadapan, tapi sangat bergantung pada peruntukan kewangan yang diterima,” katanya pada sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Deshon di sini, hari ini.
Beliau berkata, KSB 2024 menerima sambutan positif pelajar dan guru di kawasan yang terlibat, dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran sains, bengkel teknologi dan demonstrasi robotik.
“Komitmen kementerian dalam memastikan pendidikan STEM terus diberi penekanan, selaras dengan usaha negara untuk melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang sains dan teknologi.
“Hingga 6 September 2024, seramai 27,000 pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai program ini,” tegasnya.
KSB 2024 menjelajah ke 10 daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan dan Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu.
Pengembaraan diteruskan ke lima buah daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching.
Ia melibatkan lebih 20 sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan yang memanfaatkan seramai 35,000 peserta.
Melalui program ini, pelbagai aktiviti interaktif yang menarik dilaksanakan berkonsepkan ‘Hands On, Minds On, Hearts On’.
Ia selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat.



