Motivasi lebih gigih bekerja

KUCHING: Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju bersyukur dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 pada Isnin.

Menurut Ali Biju dalam kenyataan media semalam, penghargaan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Yang diPertuan Agong merupakan satu penghormatan yang beliau terima dengan penuh rendah hati.

“Saya berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana bersetuju untuk mengadakan penganugerahan khas ini. “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin atasan saya dan kepada rakyat yang telah bersama-sama saya melalui keadaan senang dan sukar,” katanya.

Ujar beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, anugerah tersebut merupakan satu motivasi besar bagi beliau untuk bekerja lebih keras untuk negara dan rakyat.

“Setelah memegang gelaran yang mulia ini, saya berjanji untuk tidak membiarkan Yang di-Pertuan Agong, pemimpin atasan saya dan rakyat kecewa,” tambahnya.

Ali Biju bersama-sama isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dan Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah antara 335 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong..

Ali Biju adalah antara 81 penerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.