KUCHING: Tindakan seorang penunggang motosikal menukar lorong secara mengejut dipercayai menjadi punca kemalangan maut yang meragut nyawanya di Batu 16, Jalan Kuching-Serian, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Superintenden Barry William berkata, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, mangsa, lelaki berusia 38 tahun menunggang motosikal dari arah Serian menghala ke Kuching.

“Siasatan awal di lokasi mendapati ketika mangsa menukar lorong dari kiri ke kanan, sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita berusia 30 tahun bergerak lurus di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan.
Barry menambah, pemandu kereta berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu katanya, mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala motosikal ditunggang terbabas ke lorong kiri.
“Mangsa mengalami kecederaan parah, termasuk kecederaan pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 8.57 malam oleh pembantu pegawai perubatan.
“Pemandu kereta terbabit bersama dengan seorang penumpang wanita berusia 54 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambah beliau.
Barry berkata, pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans motosikal mangsa masih sah sehingga 11 Ogos 2027.
Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


