ARTIKEL

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datuk Buckland Bangik menyaksikan pemeteraian MoU antara SCOPE dengan PERKESO. Foto: RAMIDI SUBARI

MoU SCOPE-PERKESO: Jaminan Bakat Tempatan Selaras Pembangunan Ekonomi Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memastikan pembangunan ekonomi negeri bergerak selari dengan keperluan tenaga kerja masa hadapan.

Pada masa sama, ia mampu memperkukuh penyediaan bakat tempatan secara lebih sistematik.

Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim Jit Sek berkata, laluan latihan yang tersusun perlu diwujudkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang sedang berkembang di Sarawak.

“Kami komited untuk mewujudkan laluan yang menyeluruh yang menghubungkan latihan, bakat dan peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, di sini hari ini.

Tambahnya, SCOPE mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia untuk pekerjaan pertama mereka tetapi juga mampu menyesuaikan diri dalam landskap pekerjaan yang berubah pantas seiring perkembangan teknologi serta permintaan industri.

Kerjasama ini katanya, memberi nilai tambah kepada usaha agensi itu dalam merapatkan jurang antara pencari kerja dengan majikan melalui pelbagai inisiatif di seluruh negeri.

Sehubungan itu, Pengarah PERKESO Sarawak Tan Phang Chia berkata, pihaknya terus memperkukuh peranan sebagai penyelia perkhidmatan pekerjaan kebangsaan.

“PERKESO sebagai penyelia perkhidmatan pekerjaan kebangsaan sentiasa memberi tumpuan untuk membantu graduan, memastikan setiap yang keluar daripada institusi pengajian tinggi memperoleh pekerjaan yang setimpal,” katanya.

Sementara itu, Tan memaklumkan bahawa lebih 200 program kerjaya telah dianjurkan di seluruh Sarawak tahun ini menerusi MyFutureJobs.

Ini termasuk karnival kerjaya dan sesi temu duga terbuka sebagai sebahagian usaha menyediakan majikan dengan bakat tempatan yang memenuhi keperluan pasaran.

“Kita juga mahu menggalakkan graduan agar memanfaatkan insentif khas yang ditawarkan termasuk sokongan mobiliti bagi mereka yang sanggup bekerja di luar kawasan tempat tinggal,” katanya.

Kerjasama antara SCOPE dengan PERKESO itu dijangka menyumbang kepada penyediaan saluran bakat yang lebih mantap, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan tenaga kerja negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Sehubungan itu, kerjasama antara dua pihak ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan sektor industri utama negeri tidak berdepan kekurangan tenaga kerja berkemahiran seiring pertumbuhan pesat pelbagai projek pembangunan.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datuk Buckland Bangik dan tetamu kehormat lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU