KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) mengalu-alukan cadangan Menteri Perladangan dan Komoditi (MPC) mengenai pembangunan 10,000 hektar tanaman lada baharu di Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak kekal sebagai pengeluar lada terbesar di Malaysia, menyumbang lebih daripada 98 peratus pengeluaran negara.
“Namun, eksport lada dari Januari hingga September menurun daripada 4,580 metrik tan kepada 3,093 metrik tan, iaitu penurunan sebanyak 33 peratus. Nilai eksport juga berkurang sebanyak 4 peratus, daripada RM128 juta pada 2024 kepada RM123 juta bagi tempoh yang sama.
“Oleh itu, kementerian saya komited untuk memudahkan dan mengenal pasti tanah yang sesuai bagi tujuan ini dengan pembiayaan mencukupi daripada MPC,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Setakat September 2025, kawasan penanaman lada di Sarawak berjumlah 8,148 hektar, peningkatan kecil sebanyak 20 hektar berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Dalam pada itu, tambahnya, Lembaga Lada Malaysia (MPB) akan memperkenalkan teknologi baharu seperti sistem fertigasi dan aplikasi Internet Benda (IoT) untuk meningkatkan produktiviti tanaman, mengurangkan keperluan tenaga kerja serta menurunkan kos pengeluaran bagi memperkukuh industri lada.
“Penggunaan teknologi ini dijangka dapat menggalakkan penglibatan belia serta menyokong kelestarian jangka panjang industri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MFICORD melalui Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) terus memacu inisiatif utama untuk mentransformasi industri getah, menghasilkan kemajuan yang ketara dengan sebanyak 30,000 pekebun kecil didaftarkan di bawah Permit Autoritasi Transaksi Getah.
“Bagi membina industri getah yang lebih produktif dan komersial, SARIB telah menggabungkan 919 hektar ladang pekebun kecil di Selangau, Ulu Awik, Sibuti dan Bau, disokong oleh pelaburan swasta sebanyak RM8 juta, selain merancang untuk memperluas model Kerjasama Swasta-Awam-Komuniti (PPCP) kepada 5,000 hektar menjelang 2026.
“Model ini memperkenalkan teknologi tuaian baharu yang meningkatkan konsistensi menuai dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual. Usaha ini telah menjana RM75 juta pendapatan luar bandar daripada 25,000 metrik tan getah tempatan, manakala eksport mencapai 43,404 metrik tan bernilai RM266 juta setakat September 2025,” katanya.
Sementara itu, Rundi mendedahkan bahawa eksport sagu mencapai 25,000 metrik tan bernilai RM68 juta, manakala eksport gula apong meningkat kepada 78,000 kilogram (RM865,000) setakat September 2025.
“Kita telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) untuk memodenkan dan mentransformasikan kedua-dua industri ini serta memperkukuh tadbir urus.
“SNDB telah diberi tanggungjawab ke atas empat projek utama. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan industri sagu dan nipah dengan meningkatkan hasil sagu, memperbaiki pengeluaran harian dan kualiti air nira nipah serta meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya.
Mengenai industri koko, beliau berkata pengeluaran koko dari Januari sehingga September 2025 menurun daripada 37 metrik tan kepada 22 metrik tan, dengan nilai berkurang daripada RM1.06 juta kepada RM0.82 juta disebabkan harga pasaran yang lebih rendah iaitu RM9.60 sekilogram.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Lembaga Koko Malaysia (MCB) telah melaksanakan lima program utama untuk meningkatkan hasil koko.
“Ini juga bagi mengurangkan kos operasi pekebun kecil melalui bantuan input, peralatan moden, sokongan nasihat dan latihan, dengan peruntukan RM7.6 juta yang memberi manfaat kepada 1,380 pekebun kecil,” katanya.

