ARTIKEL

Abang Ismawi Abang Ali

MPKS sedia pamer cadangan peta persempadanan DUN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bersedia jalankan tanggungjawab mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.

Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan ruang untuk pameran tersebut.

Menurut beliau, pameran berkaitan perkara itu akan dipamerkan di pejabat majlis tersebut sepanjang tempoh yang diminta oleh SPR.

Bagaimanapun, katanya, belum ada perkembangan lanjut daripada SPR mengenai bila dokumen dan peta berkaitan akan mula dipamerkan.

Sementara itu, sumber Pejabat Daerah Kota Samarahan turut memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima surat rasmi daripada SPR berkaitan perkara tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung surat bertarikh 25 Jun 2026 apabila SPR telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyediakan ruang untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak yang dijangka meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.

SPR dalam surat tersebut merancang memasang papan pameran di pejabat majlis perbandaran, majlis daerah dan pejabat daerah di 31 kawasan Parlimen di seluruh Sarawak.

Pameran itu bertujuan memaparkan secara fizikal draf pelan dan pelan warta persempadanan bagi Kajian Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-7 mengikut tempoh yang akan ditetapkan oleh SPR.

Surat tersebut turut disertakan lampiran yang mengandungi cadangan kerusi baharu serta nama baharu bagi beberapa kawasan pilihan raya.

Antara kerusi baharu yang dicadangkan ialah Serayan, Jagoi dan Singai di bawah Parlimen Mas Gading; Pasir Pandak (Santubong); Matang dan Semarak (Petra Jaya); Maong (Stampin); Tabuan Jaya (Bandar Kuching); Samarindah (Kota Samarahan); Sungai Serin dan Bung Sadong (Puncak Borneo); Muara Lassa (Tanjung Manis); Tanah Mas (Lanang); Sungai Merah, Bukit Kemuyang dan Rasau (Sibu); Melekun (Kapit); Jepak Jaya dan Batu Niah (Bintulu); Bukit Beraya (Sibuti); Permaisuri, Tudan dan Lopeng (Miri); Usun Apau (Baram); Gunung Murud (Lawas); serta Matu dan Igan di bawah Parlimen Batang Lassa yang dicadangkan sebagai nama baharu bagi Parlimen Igan.

Pameran awam itu bertujuan memberi peluang kepada pengundi, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri meneliti cadangan perubahan sempadan pilihan raya sebelum mengemukakan bantahan atau maklum balas secara rasmi.

Pada 2025, DUN Sarawak meluluskan usul penambahan 17 kerusi baharu, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99.

Bagaimanapun, cadangan itu hanya boleh dibentangkan di Parlimen selepas SPR menyelesaikan keseluruhan proses persempadanan semula mengikut kehendak Perlembagaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU