KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperkenalkan hala tuju yang baharu berteraskan kelestarian, keterangkuman dan visi yang mengutamakan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata beliau berbesar hati melihat MPP mengambil peluang untuk menetapkan hala tuju baharu yang berani bagi perbandaran berkenaan.
“Saya sangat gembira melihat MPP mengambil peluang ini untuk mentakrifkan semula hala tujunya dengan visi baharu yang berani, Padawan yang mampan, inklusif dan boleh didiami.

“Visi itu disokong misi untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran berkualiti, inklusif dan inovatif, di samping menggalakkan tadbir urus yang baik serta kesejahteraan masyarakat.
“Ia mempromosikan kemakmuran, tadbir urus, kesejahteraan masyarakat, akauntabiliti, ketelusan, integriti serta perkongsian kerjasama dengan masyarakat yang aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-70 MPP sebagai pihak berkuasa tempatan, di sini, semalam (28 Ogos).
Tambah beliau, pencapaian itu mencerminkan perjalanan MPP selama 70 tahun sebagai sebuah majlis tempatan, 30 tahun sebagai majlis perbandaran dan 40 tahun sebagai majlis daerah luar bandar, yang melakar sejarahnya sejak penubuhan pada 1957.
Dr. Sim turut mengimbas kembali khidmat mendiang bapanya sebagai pengerusi Kuching Rural District Council (KRDC) dari 1967 hingga 1970, yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada asas yang membentuk MPP pada hari ini.
Jelasnya, bahawa kedudukan MPP di peringkat antarabangsa semakin berkembang, dengan memetik hubungan bandar persahabatan dengan China dan Korea, serta Indonesia tidak lama lagi.
Katanya, MPP turut mendapat pengiktirafan menerusi WHO Global Network untuk bandar mesra warga emas dan Kanak-Kanak.
Selain itu, perbandaran tersebut turut menerima Anugerah Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) untuk integriti awam dan pengurusan kewangan yang baik.
Turut hadir pada majlis makan malam itu ialah Senator Datuk Ahmad Ibrahim, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap, Pengerusi MPP Tan Kai dan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping.


