ARTIKEL

M’SIA SEDIA PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN S’PURA BAWAH PENTADBIRAN PM BAHARU LAWRENCE WONG

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia terus memperkukuh hubungan dengan Singapura bawah pentadbiran bakal Perdana Menteri republik itu yang baharu, Lawrence Wong.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, beliau berkata, kesediaan Malaysia itu sebagai menyambut baik harapan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang mahu melihat hubungan akrab kedua-dua negara terus mekar bawah pentadbiran Wong.

Anwar berkata, harapan Singapura itu dizahirkan Lee semasa beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya itu selepas merasmikan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024.

“PM Lee memaklumkan secara rasmi akan menyerahkan tampuk pentadbiran kepada Lawrence Wong minggu depan dan menzahirkan harapan melihat hubungan akrab Malaysia-Singapura terus mekar bawah kepemimpinan baharu negara itu.

”Saya sambut baik harapan PM Lee dan sedia untuk terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Singapura bawah pentadbiran Lawrence,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga sempat mengundang Lee dan isterinya, Ho Ching ke Malaysia dalam masa terdekat.

Anwar berkata beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail amat menghargai hubungan peribadi yang erat bersama Lee serta Ho Ching.

“Bicara kami dalam setiap pertemuan sentiasa berpaksikan sahabat kepada sahabat.

“Selamat maju jaya sahabat. Semoga masa depan yang cemerlang terus menanti Malaysia
dan Singapura, insya-Allah,” katanya.

Wong Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa Singapura mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Lee pada 15 Mei ini.– Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU