KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada 3 November lalu.
Pengerusinya, Zaidi Nasar berkata, pindaan tersebut merupakan langkah positif dan tepat pada masanya bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara, khususnya dalam membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat perubahan pasaran buruh dan cabaran ekonomi semasa.
“MTUC Sarawak melihat bahawa penambahbaikan kadar faedah dan pengenalan faedah baharu seperti Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan pekerja.
“Melalui faedah baharu ini, pekerja yang kehilangan pekerjaan akan memperoleh sokongan mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu mereka melapor diri ke pekerjaan baharu yang jauh dari tempat tinggal asal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, selain peningkatan kadar Elaun Latihan (EL) kepada RM30 sehari, peningkatan Fi Latihan (FL) kepada RM7,000 serta peningkatan kadar Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) daripada 25 kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) merupakan penambahbaikan yang sangat dialu-alukan oleh MTUC Bahagian Sarawak.
Jelasnya, ini kerana ia bukan sahaja menggalakkan mobiliti tenaga kerja, malah mempercepat penempatan semula pekerjaan dalam kalangan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang terkesan.
“Kami percaya bahawa pindaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan sistem perlindungan sosial negara kekal inklusif, mampan dan responsif dengan keperluan tenaga kerja semasa.
“Kami turut menggesa agar pelaksanaan pindaan ini dilakukan dengan pendekatan yang menyeluruh dan melibatkan libat urus berterusan bersama pihak kesatuan sekerja,” katanya lagi.
Tambah Zaidi, pihaknya yakin bahawa usaha kerajaan dan PERKESO untuk memperkukuh sistem perlindungan pekerjaan akan terus meningkatkan keyakinan pekerja dengan dasar perlindungan sosial negara dan memperkukuh kestabilan pasaran kerja di Malaysia.


