BINTULU: Penganjuran Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 tidak hanya memberi peluang kepada peserta terlibat membukti keupayaan masing-masing.
Sebaliknya, aktiviti ikonik Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) itu lebih signifikan objektifnya untuk mengenal pasti atlet baharu yang boleh diketengahkan ke pentas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang akan berlangsung di Kelantan.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim memberitahu, menjadi kelaziman pihaknya menerusi penganjuran sesuatu kejohanan saban tahun yang turut fokus dalam pencarian atlet baharu.
“Objektif asal kita cuba mencari atlet berbakat yang boleh dijadikan aset membentuk skuad bagi menghadapi SUKMA 2028 nanti,” ujar Jumaat yang ditemui Arena Suara Sarawak selesai sesi memperkenal kelab bertanding pada kejohanan itu di Naim Street Mall Paragon, Bintulu malam tadi.
Jumaat akui, pihaknya mempunyai badan penilai prestasi setiap atlet terlibat sepanjang kejohanan tiga hari (16-18 Oktober) itu.
Justeru, Jumaat percaya akan ada atlet baharu yang dikenal pasti sebaik berakhir kejohanan terbabit.
Beliau memberitahu, difahamkan kelab tempatan yang bertanding kali ini ramai mempertaruhkan atlet muda berbakat.
Lantas, kelebihan tersebut akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

