KUCHING: Cadangan bagi mempermudahkan pendaftaran perniagaan golongan usahawan di Sarawak sedang diperincikan setakat ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, usul tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk penyelarasan pembangunan keusahawanan Sarawak (SEDC) 2023 yang diadakan hari ini.
“Usaha merealisasikan cadangan tersebut selari aspirasi Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan berniaga kepada usahawan tempatan sekali gus memudahkan urusan mendaftarkan perniagaan mereka.

“Antara cadangan yang dibentangkan termasuk penggunaan e-dagang dan cara menggalakkan usahawan informal menjadi golongan yang boleh didaftarkan,supaya mereka dapat menerima bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Hadir sama dalam mesyuarat adalah rombongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diketuai menterinya, Datuk Ewon Benedick.
Mengulas lanjut, Tengah berkata usul tersebut dicadangkan bagi meneliti perkara berkaitan misalnya mengenai kebenaran alamat kediaman untuk digunakan sebagai alamat perniagaan golongan usahawan.
“Pada dasarnya kalau diikutkan perkara yang terdapat dalam ordinan kita, alamat perniagaan yang menggunakan alamat kediaman tidak dibolehkan. Namun kita sedia maklum terdapat beberapa usahawan yang beroperasi daripada rumah.
“Disebabkan itu kita akan meneliti dengan mendalam jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi dari rumah dan sebagainya. Kita perlu menjalinkan kerjasama komprehensif dengan semua agensi berkaitan untuk tujuan ini.
“Bagi jangka masa pendek pula, kita bersetuju mana-mana kawasan mempunyai kemudahan-kemudahan yang dibina kerajaan seperti Anjung Usahawan, kita telah memberi arahan supaya terdapat ruang disediakan untuk mereka gunakan sebagai alamat perniagaan.
“Begitu juga pusat-pusat inkubator yang dilaksanakan oleh beberapa agensi, kita turut bersetuju supaya pusat-pusat ini boleh digunakan dan dijadikan sebagai alamat perniagaan menerusi penelitian terperinci,” ujarnya.


