KUCHING: Mukah berpotensi untuk dibangunkan sebagai daerah yang menjayakan agenda keterjaminan makanan melalui pengukuhan sektor perikanan dalam projek Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib menyatakan perkara itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Projek RADDA melibatkan kawasan Parlimen Mukah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dan DUN Balingian, hari ini.

“RADDA ditubuhkan dengan matlamat untuk memacu transformasi dan mempercepat pembangunan di kawasan luar bandar khususnya di wilayah Delta Rajang, meliputi Mukah dan Sibu.
“Pelaksanaan projek RADDA mestilah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook rasminya.
Mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha untuk mengekalkan momentum projek serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.
Di samping itu, kesinambungan inisiatif Premier Sarawak dalam pembangunan pelabuhan tukun tiruan di perairan negeri sebagai langkah memperkukuh sumber ekonomi dan kelestarian sumber marin turut diambil maklum semasa mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, Hanifah turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek RADDA memerlukan pelibatan aktif, idea serta perkongsian maklumat daripada semua pihak berkepentingan.
Tambahnya, ini adalah bagi memastikan pembangunan jangka panjang yang dirancang dapat direalisasikan dengan berkesan.

