ARTIKEL

Muncung Titanic di Selalang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Idea spontan kadangkala membuahkan hasil menakjubkan apatah lagi jika diadun dengan kreativiti penciptanya.

Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan hasil kerja Osman Jalaini Rambli, 45, di Kampung Selalang di sini.

Tiada siapa menyangka idea unik bapa kepada lima cahaya mata ini yang menghasilkan replika rangka kapal, dapat menarik kehadiran pelanggan di warungnya di tebingan sungai Kampung Selalang.

Menurut Osman, dia mula membina replika rangka kapal itu sebulan lalu menggunakan kudrat sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Pada mulanya, saya hanya ingin membesarkan bahagian hujung warung untuk menyediakan ruang yang lebih selesa kepada pelanggan.

“Ketika itu, saya bercadang untuk membuat reka bentuk biasa sahaja.

“Entah kenapa, idea untuk membina hujung kapal datang secara tiba-tiba.

“Mungkin kerana saya meminati filem Titanic.

Replika ini juga mengingatkan saya akan bot untuk menangkap ikan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kapal Titanic tenggelam di Samudera Atlantik Utara pada 1912.

Osman berkata, sebaik mendapat idea itu, dia berusaha mengumpul lebih 20 batang kayu.

Warung miliknya itu katanya, beroperasi sejak dua tahun lalu dan dibuka kepada orang ramai setiap hari mulai jam 4 petang.

“Saya bercadang untuk membesarkan hujung gerai ini ketika musim kekurangan ikan sebulan lalu.

Ketika itu, saya tidak turun ke laut dan kesempatan itu saya manfaatkan untuk membesarkan warung bagi menampung pertambahan jumlah pelanggan,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar pelanggannya merupakan penduduk setempat dan ada pengunjung datang dari luar kampung.

Paling menggembirakan jelasnya, warung itu menjadi tempat penduduk kampung berkumpul sambil mengeratkan silaturahim.

“Sungai Selalang kaya dengan pelbagai spesies ikan.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang datang ke sini untuk memancing sambil bersantai dan menikmati pelbagai juadah di warung saya,” jelasnya.

BERITA LAIN

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan

BERITA TERBARU

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan