ARTIKEL

MYJalan terima 3,403 aduan masalah jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING : Kementerian Kerja Raya (KKR) terima 3,403 aduan berkaitan masalah jalan raya termasuk jalan berlubang, kerosakan papan tanda serta perabot jalan dan sebagainya, melalui aplikasi MYJalan sejak 1 Ogos hingga 23 Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua aduan membabitkan jalan di bawah seliaan KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), selain jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri serta PBT yang terlibat.

Daripada jumlah keseluruhan, hanya 26.8 peratus atau 912 aduan membabitkan jalan kendalian agensi KKR, manakala 73.2 peratus (2,491 aduan) melibatkan jalan negeri dan jalan PBT.

“Di bawah dasar ‘No Wrong Door Policy’ yang diterapkan dalam aplikasi MYJalan, KKR tetap menerima semua aduan termasuk jalan negeri dan PBT, seterusnya memajukan laporan terbabit kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap kerosakan atau isu berkaitan jalan yang dilaporkan oleh pengguna sampai kepada pihak yang bertanggungjawab, dan tindakan sewajarnya boleh diambil dengan kadar segera,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook rasmi beliau, hari ini.

Beliau berkata, bagi 912 aduan membabitkan jalan seliaan agensi KKR, 275 aduan (30 peratus) jalan berlubang; 187 aduan (20 peratus) berkenaan lampu jalan; 174 aduan (19 peratus) bagi jalan rosak; 98 aduan (11 peratus – lampu isyarat; 64 aduan (7 peratus – garisan jalan); 49 aduan (5 peratus – halangan); 23 aduan (3 peratus – papan tanda); 21 aduan (2 peratus – kemudahan awam); 16 aduan (2 peratus – perabot jalan); dan lima aduan (1 peratus – tanah runtuh).

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 676 aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR dalam tempoh satu hingga 30 hari, manakala 236 aduan sedang dalam proses tindakan.

Daripada statistik yang diperoleh melalui aplikasi MYJalan katanya, adalah jelas sebahagian besar aduan membabitkan jalan yang bukan di bawah kendalian KKR iaitu jalan seliaan Kerajaan Negeri dan PBT.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU