ARTIKEL

TERUJA... Mahathir (dua kiri) menyerahkan MyKad generasi baharu kepada penerima di JPN Sarawak hari ini. | Foto: JPN Sarawak

MyKad generasi baharu ‘panas’, 692 permohonan pada hari pertama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Baharu diperkenalkan semalam, sudah hampir 700 rakyat Sarawak tampil mendapatkan MyKad generasi baharu dengan 692 permohonan direkodkan hanya pada hari pertama pelaksanaannya.

Angka itu jelas menunjukkan keterujaan orang ramai dengan penampilan baharu kad pengenalan berkenaan, malah jumlah pemohon dijangka kekal tinggi dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak Mahathir Bujang berkata sebanyak 692 permohonan direkodkan sehingga 5 petang, semalam.

TERUJA… Mahathir (dua kiri) menyerahkan MyKad generasi baharu kepada penerima di JPN Sarawak hari ini. | Foto: JPN Sarawak

“Jumlah permohonan MyKad generasi baharu pada 17 September 2026, hari pertama dilancarkan adalah 692 permohonan sehingga jam 5 petang,” katanya kepada Suara Sarawak ketika mengulas perkara itu, hari ini.

Menurut Mahathir, JPN Sarawak mampu memproses antara 150 hingga 200 MyKad sehari tertakluk kepada jumlah permohonan dan ketersediaan mesin pemprosesan.

“Anggaran 150 hingga 200 MyKad sehari sekiranya tiada masalah dari segi sistem atau mesin,” jelasnya.

PISANG PANAS… Suasana di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak di UTC Kuching hari ini diserbu orang ramai yang mahu menukarkan MyKad mereka. | Foto: JPN Sarawak

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan kehadiran orang ramai masih tinggi dalam beberapa hari akan datang berikutan pengenalan MyKad generasi baharu.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru dengan berpusu-pusu ke kaunter JPN sekiranya MyKad sedia ada masih elok dan boleh digunakan.

Katanya, tiada keperluan untuk membuat penggantian segera sekiranya kad pengenalan sedia ada masih dalam keadaan baik serta tidak menghadapi sebarang masalah ketika digunakan bagi urusan harian.

TETAP LANCAR… Petugas di Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak di UTC Kuching menjalankan tugas mereka untuk menukar MyKad generasi baharu pelanggan. | Foto: JPN Sarawak

Pada masa sama beliau meminta orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran rasmi JPN sebelum hadir ke kaunter.

Terdahulu, suasana di Ibu Pejabat JPN Negeri Sarawak hari ini turut meriah dengan sesi penyerahan MyKad generasi baharu kepada pelanggan.

Sesi berkenaan disempurnakan Mahathir sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MyKad generasi baharu kepada rakyat.

Keterujaan jelas terpancar pada wajah pelanggan yang menerima kad berkenaan, sekali gus menceriakan suasana di Ibu Pejabat JPN Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, JPN Sarawak terus komited memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan cekap, mesra dan teratur selaras usaha memperkasa kualiti perkhidmatan awam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU