JULAU: Program Bantuan MyLesen Kelas B2 Peringkat Parlimen Julau terus menjadi antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu golongan B40 mendapatkan lesen memandu motosikal secara sah pada kos lebih rendah, sekali gus meningkatkan keselamatan jalan raya.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, program tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan rakyat, malah memberi peluang kepada lebih ramai penduduk luar bandar memiliki lesen memandu yang sah tanpa perlu menanggung kos yang tinggi.
Menurutnya, pada 2024 seramai 1,176 peserta berjaya memperoleh lesen memandu Kelas B2 menerusi Program MyLesen, manakala sehingga kini pada 2026 seramai 885 peserta telah menamatkan program dan memperoleh lesen masing-masing.
“Program MyLesen B2 ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat, khususnya golongan B40, mempunyai akses kepada lesen memandu yang sah pada kos yang mampu ditanggung.
“Selain membantu mengurangkan beban kewangan, ia turut meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu semakin signifikan berikutan penguatkuasaan undang-undang yang mewajibkan penunggang motosikal memiliki lesen memandu yang sah, termasuk bagi urusan mengisi minyak di stesen minyak.
Katanya, di bawah Program MyLesen B2, peserta hanya dikenakan bayaran sekitar RM250 berbanding kos biasa mendapatkan lesen yang boleh mencecah antara RM750 hingga RM800, sekali gus menjadikan inisiatif tersebut sebagai satu bentuk bantuan yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Sehubungan itu, Larry menyeru semua peserta yang telah berjaya memperoleh lesen memandu supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta mengamalkan budaya pemanduan berhemah demi menjamin keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau menegaskan bahawa Program MyLesen B2 bukan sekadar membuka peluang kepada rakyat mendapatkan lesen memandu secara sah, malah merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan jalan raya dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi akses pelesenan yang lebih mudah serta mampu milik.

