MUKAH: Lebih 160 kilogram lebihan makanan berjaya dikumpulkan dalam Program MySaveFood Ramadan yang diadakan di Bazar Ramadan Setia Raja, di sini, Isnin lalu.
Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Politeknik Mukah (PMU).
Ketua Cawangan KPDN Mukah, Salihin Den berkata, program tersebut memberi impak positif bukan sahaja dari sudut kebajikan sosial, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Usaha ini adalah bagi memastikan makanan yang masih elok tidak dibuang dan mengakibatkan pembaziran.
“Sebaliknya, ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Penasihat GPS PMU, Shafiq Nasaruddin memberitahu, pelaksanaan program ini melibatkan lebih 70 pelajar sukarelawan dalam operasi kutipan dan agihan.

Menurutnya, penyertaan pelajar dalam program ini memperkukuh nilai kesukarelawanan serta kesedaran isu pembaziran makanan dalam kalangan generasi muda.
“Alhamdulillah, pada hari pertama program iaitu 23 Februari lalu, kami berjaya mengumpulkan lebih 160 kilogram lebih makanan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada para peniaga di Bazar Ramadan Setia Raja Mukah atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan program.
Dengan adanya program ini, diharapkan ia dapat memberi manfaat berterusan kepada pelajar B40 dan komuniti setempat.
Terdahulu, Program MySaveFood ini dijadualkan berlangsung bermula 23 Februari hingga 1 Mac.


