ARTIKEL

The iPhone 18 Pro and iPhone 18 Pro Max are on display at the iPhone launch day at the Apple Fifth Avenue store in New York City on September 18, 2026, for the debut of the iPhone 18 Pro and iPhone 18 Pro Max. (Photo by TIMOTHY A. CLARY / AFP)

Naik taraf atau tunggu?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali Apple melancarkan iPhone baharu, satu persoalan yang sama akan muncul dalam kiraan pengguna lama seperti saya: Sudah sampai masakah untuk bertukar?

Tahun ini, persoalan itu terasa lebih sukar untuk dijawab. Apple baru sahaja memperkenalkan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max pada 9 September lalu, dengan jualan bermula pada 18 September lalu.

Antara pembaharuan utama ialah cip A20 Pro berasaskan teknologi 2 nanometer, sistem kamera utama 48 megapiksel dengan apertur berubah, Dynamic Island yang lebih kecil, sistem penyejukan baharu serta peningkatan ketara pada hayat bateri.

Di atas kertas, memang menggoda.

Lebih-lebih lagi bagi seseorang seperti saya yang masih menggunakan iPhone 14 Pro Max. Perjalanan saya dengan iPhone sebenarnya agak panjang.

Saya pernah menggunakan iPhone 6, kemudian beralih kepada iPhone 11 Pro sebelum akhirnya memilih iPhone 14 Pro Max.

Setiap kali bertukar, saya tidak melakukannya sematamata kerana nombor model berubah.

Biasanya saya menunggu sehingga peningkatan yang ditawarkan benar-benar terasa berbaloi.

Itulah sebabnya iPhone 18 Pro Max kali ini meletakkan saya dalam dilema.

Jika dibandingkan dengan iPhone 14 Pro Max yang sudah saya gunakan selama kira-kira empat tahun, jurangnya bukan lagi kecil.

Kamera iPhone 18 Pro kini mempunyai apertur berubah yang membolehkan pengguna mengawal jumlah cahaya dan kedalaman medan dengan lebih  eksibel.

Apple turut menyediakan kawalan manual seperti kelajuan pengatup, imbangan putih dan apertur, sesuatu yang tentunya menarik bagi mereka yang banyak menghasilkan foto dan video.

Sebagai wartawan, kamera telefon bukan sekadar untuk mengambil gambar makanan sebelum makan.

Ia juga boleh menjadi alat kerja.

Ada masanya telefon menjadi alat pertama yang digunakan di lokasi kejadian, sama ada sebagai kamera, perakam suara, alat menyunting gambar, menulis berita mahupun menghantar bahan kepada meja berita.

Dalam konteks itu, peningkatan kamera dan prestasi memang mempunyai nilai praktikal.

Ditambah pula dengan cip A20 Pro, sistem pengurusan haba baharu dan bateri yang lebih tahan lama, iPhone 18 Pro Max tentunya jauh lebih berkuasa daripada telefon yang saya gunakan sekarang.

Apple mendakwa model Pro Max baharu mampu menawarkan sehingga 45 jam bagi versi eSIM sahaja.

Jadi, mengapa masih ragu-ragu?

Jawapannya ialah 2027.

TAHUN DEPAN MERUPAKAN ULANG TAHUN KE-20 IPHONE.

iPhone pertama diperkenalkan pada 2007 dan sejarah menunjukkan Apple pernah melakukan sesuatu yang besar sempena ulang tahun ke-10 menerusi iPhone X pada 2017.

Daripada situlah datang godaan kedua: Bagaimana jika saya bertahan setahun lagi?

Laporan semasa menyebut bahawa Apple sedang membangunkan iPhone ulang tahun ke-20 yang mungkin membawa perubahan reka bentuk lebih besar berbanding generasi biasa.

Antara yang diperkatakan ialah reka bentuk berteraskan kaca dengan bahagian hadapan dan belakang melengkung ke sisi serta paparan yang memberikan kesan hampir tanpa bingkai.

Namun, semua ini masih berdasarkan laporan dan khabar angin, bukannya pengumuman rasmi Apple.

Malah, namanya juga belum tentu “iPhone 20”.

Apple pernah melangkau iPhone 9 dan terus memperkenalkan iPhone X sempena ulang tahun ke-10.

Jadi, model 2027 mungkin dinamakan iPhone 20, iPhone XX atau sesuatu yang langsung tidak kita jangka.

Di sinilah dilema sebenar bermula.

Jika saya memilih iPhone 18 Pro Max sekarang, saya akan mendapat telefon yang jauh lebih moden daripada iPhone 14 Pro Max — kamera lebih canggih, bateri lebih baik, prestasi lebih tinggi dan teknologi yang dijangka kekal relevan untuk beberapa tahun akan datang.

Namun, jika iPhone 14 Pro Max saya masih berfungsi dengan baik, tidak perlahan, baterinya masih memadai dan kameranya masih mampu melakukan tugas harian, adakah saya benar-benar perlu bertukar?

Atau saya sebenarnya cuma mahu bertukar?

Dua perkataan itu membawa makna yang sangat berbeza apabila harga sebuah telefon sudah menghampiri nilai sebuah komputer riba yang baik.

Lebih-lebih lagi apabila hanya tinggal sekitar setahun sebelum Apple meraikan dua dekad iPhone.

Saya masih teringat bagaimana iPhone X mengubah wajah iPhone selepas sedekad dengan membuang butang Home, memperkenalkan Face ID dan membawa reka bentuk skrin penuh yang kemudian menjadi asas kepada generasi seterusnya.

BAGAIMANA JIKA SEJARAH BERULANG PADA 2027?

Mungkin saya akan menyesal membeli iPhone 18 atau mungkin juga saya menunggu setahun hanya untuk mendapati “iPhone 20” tidaklah serevolusioner seperti yang digembar-gemburkan.

Begitulah dunia teknologi.

Kita boleh menunggu telefon yang lebih baik selama-lamanya kerana model yang lebih baik sentiasa akan muncul.

Buat masa ini, iPhone 14 Pro Max saya masih belum meminta untuk bersara.

Jadi, mungkin persoalannya bukan sama ada iPhone 18 cukup hebat untuk dibeli.

Memang hebat.

Persoalan sebenar ialah sama ada saya cukup sabar untuk menunggu setahun lagi.

iPhone 18 berada di depan mata.

Namun, ulang tahun ke-20 iPhone sedang menunggu di selekoh berikutnya.

Buat pertama kalinya, saya rasa menunggu mungkin lebih mengujakan daripada membeli.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU