
KUCHING: Jalan-jalan di bawah Projek Jiwa Murni yang telah rosak akibat dilalui oleh lori balak akan dinaik taraf sebagai jalan utama untuk ke kawasan pedalaman.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata berkata perkara itu adalah antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
“Kita akan memberi keutamaan kepada jalan-jalan yang tidak lagi dilalui oleh kenderaan berat pembalakan dan ini penting untuk dinaik taraf sebagai jalan utama untuk ke kawasan pedalaman.
“Manakala jalan-jalan yang masih aktif dilalui oleh pengangkutan pembalakan ini kita akan berikan sebagai keutamaan kedua,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.



