SARIKEI: Kerajaan meluluskan sekurang-kurangnya tiga projek naik taraf klinik daif di bahagian ini dalam usaha untuk meningkatkan akses kesihatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, usaha penting itu sejajar dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.
Katanya, sejumlah RM19 juta telah diperuntukkan kepada Sarawak untuk menaik taraf klinik kesihatan menerusi program Bitara Madani iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ini termasuk Klinik Kesihatan Sarikei yang telah saya kunjungi tahun lalu. Sebanyak RM800,000 diluluskan bagi tujuan tersebut. Manakala untuk Klinik Kesihatan Bintangor pula, saya mengarahkan pegawai kesihatan bahagian supaya melakukan perancangan awal kerana pembangunan sesebuah klinik memerlukan masa.
“Malah, perbincangan MA63 baru-baru ini menetapkan garis masa pembinaan klinik komprehensif di seluruh Sarawak termasuk di bahagian ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Bintangor, petang tadi.
Dalam pada itu katanya, KKM bakal memperluaskan sistem penggunaan digital klinik di Sarawak dalam usaha meningkatkan keupayaan pusat kesihatan itu.
Projek perintis Rekod Perubatan Elektronik (EMR) kebangsaan itu, katanya, diperkenalkan sejak tahun lalu dan bakal diperluaskan tahun ini termasuk di Klinik Kesihatan Bintangor.
“Tahun ini kita menambah bilangan klinik yang mengaplikasikan sistem itu, dan saya juga melihat Klinik Kesihatan Bintangor mungkin salah satu daripadanya,” ujarnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Johny Kelak.




