ARTIKEL

ADUN Murum Kennedy Chukpai. | Gambar Fail

Naik Taraf Sungai Asap Kepada Daerah Apau Koyan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon mengharapkan pembangunan kawasan Apau Koyan dan Sungai Asap dapat dilaksanakan dengan lebih mampan dan terancang.

Menurutnya, ia menerusi cadangan menaik taraf Daerah Kecil Sungai Asap sebagai Daerah Penuh Apau Koyan.

“Cadangan ini amat signifikan kerana ia mampu mempercepat pembangunan luar bandar, memperkukuh sistem pentadbiran dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, di sini telah diluluskan projek Perkampungan Digital Sungai Asap yang giat dilaksanakan.

“Projek ini merupakan langkah besar dalam merapatkan jurang digital antara bandar dengan luar bandar serta bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi digital di kawasan pedalaman.

“Selaras dengan pembangunan tersebut, saya ingin mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan Pusat Transformasi Pertanian Pintar (SATC) di BRS Sungai Asap.

“Pusat ini boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian pintar berasaskan teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Kebendaan (IoT), penggunaan dron pertanian dan teknologi pertanian pintar,” ujarnya.

Tegas Kennedy, Sungai Asap masih berdepan pelbagai cabaran utama yang memerlukan intervensi segera dan berterusan.

“Antaranya ialah isu infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang masih perlu diperkukuh.

“Kemudahan sosial seperti sekolah, klinik dan fasiliti komuniti juga memerlukan penambahbaikan agar selari dengan keperluan semasa rakyat.

“Rakyat turut berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi akibat kekangan akses dan peluang ekonomi yang masih terhad,” tambahnya.

Kennedy memohon agar Sungai Asap diberikan perhatian sebagai kawasan fokus pembangunan termasuk penyediaan pelan induk pembangunan yang menyeluruh, pengukuhan penyelarasan antara agensi utama, pemantauan berkala serta penubuhan pasukan petugas khas bagi memastikan pelaksanaan lebih efektif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU