
DARO: Penduduk daro kini boleh menarik nafas lega apabila tangki aras tinggi baharu di Kampung Panchor Daro bernilai RM8 juta akhirnya berjaya dinaik taraf dan disiapkan.
Projek menaik taraf sistem bekalan air Daro ini telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini.
Turut hadir Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, Adun Daro Safiee Ahmad, calon Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (Jbalb) Ir Chang Kuet Shian
Menurut Safiee Ahmad, projek tersebut dilaksanakan untuk menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Daro.
“Masalah air ini pada awalnya saya lihat memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Sebab itu kita berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memperuntukan lebih RM2 bilion untuk menyelesaikan masalah air di Sarawak termasuk di kita di Daro.
“Masalah tekanan air berlaku adalah disebabkan kita cuma ada satu tangki aras tinggi yang berkapasiti satu juta liter padu, dengan keadan saluran paip besi berkarat yang perlu dinaik taraf,” katanya pada majlis perasmian naik taraf sistem bekalan air Daro.
Ujarnya lagi, tangki aras tinggi baharu di Kampung Panchor berkenaan berkapasiti 1.0 juta liter, dan ia turut melibatkan pemasangan saluran paip baharu ke kampung tebaang dan kerja-kerja yang berkaitan turut sama dilaksankan.
Malah bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Daerah Daro, JBALB Sarawak akan terus memantau dan memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan mengikut piawaian dalam jangka masa yang ditetapkan.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada sistem grid bekalan air Sarawak yang dilhamkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.