ARTIKEL

Datuk Seri Najib Tun Razak

Najib dibenarkan jalani baki hukuman di rumah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Perintah itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda RM50 juta serta mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, hari ini.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, sebelum sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 2021 serta Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun, pada mesyuarat ke-61 pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Tinggi pada 26 Disember 2025 menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 29 Disember 2025 dan kes berkenaan kini berada di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Pada 11 September lalu, BHEUU memaklumkan keputusan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU