SIBU: Dakwaan kononnya masyarakat Dayak dipinggirkan dalam pentadbiran negeri adalah tidak berasas dan sengaja dimainkan bagi memecahbelahkan rakyat Sarawak, tegas Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, PBB bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengangkat prinsip bahawa setiap anak Sarawak yang berkelayakan akan diberi peluang berkhidmat tanpa mengira kaum.
Menurutnya, kebelakangan ini terdapat pihak tertentu yang sengaja memainkan sentimen perkauman menjelang pilihan raya dengan cuba menggambarkan kononnya masyarakat Dayak tidak diberi tempat dalam pentadbiran negeri.
“Kebelakangan ini muncul pihak-pihak tertentu yang cuba memainkan sentimen perkauman di dalam Sarawak sendiri. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba menggambarkan kononnya masyarakat Dayak tidak diberi tempat dalam pentadbiran negeri.
“Saya ingin bertanya, benarkah begitu? Kalau benar, bagaimana mungkin jawatan strategik negeri Sarawak pada hari ini dipegang oleh begitu ramai anak Dayak?
“Antaranya termasuk dalam PETROS, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pertanian, Perkhidmatan Kesihatan, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy, Duta Malaysia ke Austria serta beberapa kementerian dan agensi lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan oleh Premier Sarawak selaku Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelas Nanta, selain jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PETROS yang disandang anak Dayak, ramai lagi masyarakat Dayak memegang jawatan penting termasuk pengarah jabatan kerajaan, pegawai kanan perkhidmatan kesihatan, pengurusan tertinggi UNIFOR, Setiausaha Tetap kementerian, residen, pengurusan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Tambahnya, jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak juga sejak sekian lama diperuntukkan kepada pegawai daripada masyarakat Dayak, sekali gus membuktikan penyertaan mereka dalam pentadbiran negeri sentiasa diberi perhatian berdasarkan kelayakan dan keupayaan.
Di peringkat Persekutuan pula, Nanta berkata jawatan Menteri Kerja Raya dan Menteri Perpaduan turut disandang oleh pemimpin daripada masyarakat Iban.
“Di Sarawak sendiri, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memegang portfolio yang amat strategik, selain ramai lagi menteri dan timbalan menteri daripada masyarakat Dayak memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri.
“Jadi bagaimana mungkin ada pihak masih mengatakan masyarakat Dayak tidak diberi tempat?
“Jangan mudah termakan naratif yang sengaja diwujudkan untuk memecahbelahkan rakyat Sarawak,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, memperjuangkan kepentingan kaum sendiri bukanlah satu kesalahan, namun ia tidak boleh dilakukan dengan menyemarakkan kebencian atau sikap perkauman terhadap kaum lain.
“Sebagai pemimpin, kita boleh menyuarakan keperluan dan kepentingan masyarakat yang kita wakili, tetapi jangan sesekali menggunakan pendekatan yang boleh memecahbelahkan rakyat atau menimbulkan kebencian antara kaum.
“Sebaliknya, kita perlu terus memperkukuhkan semangat keterangkuman supaya tidak ada ruang untuk mana-mana pihak mengeksploitasi isu perkauman sebagai modal politik,” katanya.
Justeru, beliau berkata kekuatan sebenar Sarawak terletak pada prinsip keterangkuman yang diamalkan Kerajaan Sarawak sejak sekian lama.
“Realitinya, PBB dan GPS sentiasa mengangkat prinsip bahawa setiap anak Sarawak yang berkelayakan akan diberi ruang untuk berkhidmat tanpa mengira kaum.
“Inilah kekuatan kita dan formula kejayaan Sarawak selama ini,” ujarnya.


