KUCHING: Pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja dilaksanakan menerusi dua program, iaitu Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu dan Program Pengukuran Kampung Tradisional, kata Datuk Len Talif Salleh.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu berkata di bawah peringkat kedua Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu, sehingga 30 September lalu, 1,255 surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak telah dikeluarkan bagi tiga kawasan seluas 741 hektar atau 1,831 ekar.
Katanya, daripada jumlah itu, dua kawasan melibatkan tanah yang didokumentasikan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dengan 312 surat hak milik tanah dikeluarkan bagi kawasan seluas 528 hektar atau 1,305 ekar.
“Di bawah Program Pengukuran Kampung Tradisional pula, sebanyak tiga kampung berkeluasan 21 hektar atau 52 ekar telah dikeluarkan dengan 451 surat hak milik tanah melalui inisiatif Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.
“Kesemua 1,706 surat hak milik tanah yang telah dikeluarkan tersebut telah pun diserahkan kepada pemilik tanah terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Bukit Semuja, John Ilus semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Bagi DUN Tebedu pula, beliau memaklumkan setakat 30 September lalu, JTS telah meluluskan 16 kawasan yang diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak untuk diukur secara lot individu di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 13 kawasan telah didokumentasikan oleh DBNA.
“Keluasan 13 kawasan tersebut lebih kurang 32,733 hektar atau 80,884 ekar dan kesemuanya kini sedang dalam proses pengukuran lot individu, dengan seluas 5,603 hektar atau 13,845 ekar telah siap diukur melibatkan sebanyak 5,775 lot.
“Sebanyak 4,136 surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak telah didaftarkan. Penyerahan surat hak milik tanah kepada penuntut dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak menghargai komitmen dan inisiatif dokumentasi DBNA dalam membantu mempercepat pengukuran tanah NCR Seksyen 6 dan 18 Kanun Tanah Sarawak.
“Bagaimanapun, hasil dokumentasi ini perlu diverifikasi dan divalidasi oleh Jabatan Tanah dan Survei sebelum pewartaan dan surat hak milik dapat disahkan,” tegasnya.

