Negara kuasai teknologi akan kawal dunia

KUCHING: Sama ada sebelum atau selepas Covid-19, teknologi terkini dilihat mula dihargai serta diimplementasi pada skala yang besar selari dengan pergerakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah (gambar) berkata, perkara berkaitan teknologi seperti Internet of Thing (IoT), data analistik, pengkomputeran awam dan sebagainya kini banyak membantu ramai pihak memahami IR4.0

“Malah apa yang kita gunakan untuk panggilan video dan lintas langsung ini, merupakan sebahagian teknologi tersebut.

“Apabila kita lihat semula objektif IR4.0 untuk memperbaik keberkesanan dan meningkatkan produktiviti, ia jelas dalam setiap matlamat mana-mana organisasi malah menjadi matlamat secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika siaran langsung bersama University Malaysia of Computer Science dan Engineering di Facebook.

Beliau percaya, sama ada disebabkan Covid-19 atau tidak – kefahaman untuk menghargai perbezaan strata komuniti menerusi teknologi memainkan peranan penting.

“Ia dipanggil teknologi futuristik dan tiada siapa dapat menghalangnya jika ia datang kepada semua.

“Bagi sesiapa sahaja yang berjaya mengimplementasikan teknologi ini, mereka akan menjadi ikutan dunia.

“Misalnya di negara China, kemampuan untuk menukar dan mempraktikkan teknologi menjulang negara bekas komunis itu berada di carta tertinggi dunia.

“Malah Amerika Syarikat turut meluahkan kerisauan jika China akan menandingi mereka suatu hari nanti. Ini realiti yang tidak dapat kita sangkal,” katanya.

Katanya, negara itu juga menggunakan teknologi pembayaran tanpa tunai, pengecaman wajah, robot yang diprogram untuk melayan pesakit di hospital dan sebagainya.

“Ini membuktikan betapa efektifnya teknologi. Saya percaya sesiapa sahaja yang mengguna pakai teknologi ini, akan mampu mengawal dunia,” katanya.

Beliau juga percaya corak pemikiran setiap manusia perlu diubah untuk menerima keperluan teknologi ini kerana teknologi merupakan ilmu berterusan yang perlu dipelajari.

“Ini kerana terdapat dua jenis manusia yang berhubung rapat dengan teknologi. Pertamanya menjadikan pembelajaran sebagai satu proses berterusan selari dengan teknologi.

“Kedua, manusia yang memikirkan usia persaraan sebagai penghalang untuk belajar teknologi.

“Sebenarnya kita belum terlambat dalam apa-apa sahaja yang berkaitan ilmu teknologi,” katanya.