Nelayan hilang diserang buaya

SRI AMAN: Seorang nelayan hilang selepas diserang buaya ketika memukat ikan bersama tiga saudaranya di Sungai Batang Lupar, berhampiran Kampung Melayu Tanjung Bijat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitendan Bingkok John berkata mangsa dikenali sebagai Yanha Mahrat, 29, dari Kampung Tengah di sini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang ketika mangsa sedang menarik pukat di tengah sungai seorang diri dengan kedalaman air ketika itu hanya mencecah paras dada.

“Tiba-tiba mangsa telah menjerit meminta tolong daripada tiga saudaranya yang berada tidak jauh dari situ sambil tenggelam dan timbul di permukaan air sebelum tenggelam dipercayai ditarik oleh buaya ke dasar sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dilancarkan di sekitar sungai berkenaan, sejurus laporan mengenai kejadian diterima sekitar jam 3 petang.

Katanya operasi SAR melibatkan seramai 63 orang anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Suara Sarawak