KUCHING: Peserta larian Borneo Ultra Blue Trail (BUBT) 2023 bakal menikmati keindahan alam semula jadi serta keunikan budaya yang terdapat di Daerah Kecil Padawan pada 29 Oktober nanti.
Timbalan Menteri Pengangkutan Darat dan Udara Datuk Dr Jerip Susil berkata, program yang berlangsung di Dewan Persatuan Biannah ini memperkenalkan Daerah Kecil Padawan sebagai kawasan ekopelancongan di Sarawak dan Malaysia amnya.
Katanya, sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam larian tersebut iaitu 10KM, 30KM dan 50KM yang akan merentasi beberapa buah kampung serta air terjun di kawasan Bidayuh Bi’annah.
“Borneo Ultra Blue Trail akan melalui lima buah kampung iaitu Kampung Annah Rais, Kampung Sadir, Kampung Sibuang, Kampung Sibakar dan Kampung Simuti.
“Larian juga melalui Rumah Panjang Annah Rais, kolam air panas Annah Rais, Air Terjun di Kampung Sadir, Air Terjun di Kampung Sibakar dan Rumah Panjang Kampung Simuti,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur, di sini hari ini.
Jerip yang juga Adun Mambong berkata, larian tersebut disertai 190 peserta tempatan dan luar negara dari Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Belanda, Jerman dan Nigeria.
BUBT 2023 merupakan anjuran Pejabat Daerah Kecil Padawan dan disokong oleh Pusat Khidmat Dun Mambong, Alpha Sport Event dan Persatuan Biannah.
Pemenang tempat pertama bagi kategori 50KM akan membawa pulang RM400, sementara tempat kedua RM300, tempat ketiga RM250, tempat keempat RM200, tempat kelima RM150 dan tempat keenam hingga ke-10 membawa pulang RM100.
Manakala pemenang tempat pertama bagi kategori 30KM pula akan membawa pulang RM300, tempat kedua RM250, tempat ketiga RM150, tempat keempat RM110, tempat kelima RM80 sementara tempat keenam hingga ke-10 membawa pulang RM60.
Sementara bagi kategori 10KM, pemenang tempat pertama akan memenangi RM200, tempt kedua RM170, tempat ketiga RM120, tempat keempat RM100, tempat kelima RM70 dan tempat keenam hingga ke-10 RM50.



