BINTANGOR: Sambutan Gawai bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya Dayak, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, Sarawak amat bertuah kerana rakyatnya dapat bersama-sama meraikan pelbagai perayaan dalam suasana aman, harmoni serta saling menghormati.
“Nilai kebersamaan dan toleransi yang diamalkan rakyat negeri ini wajar dijadikan contoh kerana mampu mewujudkan kehidupan masyarakat yang aman dan stabil.




“Keunikan inilah yang menjadi kekuatan utama Sarawak dan perlu terus dipelihara demi memastikan perpaduan rakyat sentiasa kukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Gawai Dayak 2026 di Rumah Panjang Boniface Jaraw, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Jalan Kampung Rumah Boniface Jaraw, Teluk Batu Baru yang dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta keselesaan kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar akan terus diberi perhatian agar kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.


