KUALA LUMPUR: Kesukaran mendapatkan pilihan makanan haiwan peliharaan yang berkhasiat di pasaran telah mendorong pakar sains makanan dan pemakanan, Yap Ke Yee, menubuhkan Notti Sdn Bhd pada Julai 2023.
Pengalaman peribadi Yap sebagai pemilik haiwan peliharaan yang berdepan kesukaran mencari makanan bernutrisi tinggi untuk anjing dan kucingnya telah menjadi pemangkin kepada penubuhan jenama Notti Pet Food.
Syarikat itu kini menyasarkan pasaran eksport untuk menyumbang sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan jualan dalam tempoh tiga tahun, sekali gus meluaskan jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Notti Sdn Bhd telah menerima dana permulaan sebanyak US$500,000 daripada 500 Southeast Asia dan First Move dengan sokongan Khazanah Nasional Bhd bagi menambah baik pengurusan inventori serta aliran tunai syarikat seperti dilapor Bernama.
Selain menyasarkan pasaran Indonesia dan Vietnam, syarikat itu komited untuk membawa teknologi pembuatan makanan haiwan peliharaan terkini ke Malaysia bagi memperkasakan industri tempatan.



