KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sedang menambah baik Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) bagi pemantauan pasca-Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta Garis Panduan Penyerahan dan Penilaian Laporan Pemantauan Alam Sekitar (EMR).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata langkah itu untuk menyeragamkan pemeriksaan lapangan, memperkukuh aspek pelaporan dan memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara konsisten dan sistematik.
Menurutnya, EIA merupakan keperluan perundangan dan instrumen penting dalam memastikan pembangunan lestari di Sarawak.
Katanya setakat suku ketiga tahun 2025, NREB telah menerima sebanyak 61 laporan EIA serta 15 Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 laporan EIA dan 15 EMP telah diluluskan manakala 15 laporan EIA masih dalam pelbagai peringkat penilaian.
Justeru, Len berkata bagi memastikan terma dan syarat kelulusan EIA dipatuhi, dalam tempoh Januari hingga Oktober 2025, NREB telah menjalankan sebanyak 918 pemantauan pasca-EIA dan telah menerima sebanyak 1,857 EMR.
“Hasil pemantauan mendapati 87 kes ketidakpatuhan dan notis telah dikeluarkan bagi kesalahan tersebut.
“Dalam tempoh yang sama, 14 kertas siasatan telah dibuka, manakala lapan kes telah dikompaun dengan nilai RM150,000,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata NREB mewajibkan pelaksanaan penuh Audit Pematuhan Alam Sekitar (ECA) bagi sektor perhutanan di Sarawak.
Katanya sebanyak 63 ECA Audit telah dijalankan setakat Oktober 2025.
Selain itu, enam siri Kursus Pensijilan Juruaudit ECA, yang melibatkan 153 peserta telah diadakan bagi meningkatkan kompetensi juruaudit ECA.
Sementara itu, Len berkata secara keseluruhan, Indeks Pencemar Udara (IPU) di Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2025 adalah dalam lingkungan kategori ‘Baik’ (IPU 0-50) hingga ‘Sederhana’ (IPU 51-100).
Katanya bagi memperluaskan liputan stesen pemantauan kualiti udara dan meningkatkan tahap penguatkuasaan yang menyeluruh, NREB telah menambah dua lagi stesen baharu di Kanowit dan Belaga selain dari lima stesen (Lundu, Tebedu, Lubok Antu, Bario dan Lawas) yang sedia ada.
Di samping itu, beliau berkata terdapat 12 stesen pemantauan kualiti udara di bawah seliaan Jabatan Alam Sekitar yang juga beroperasi di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Samalaju, Miri, ILP Miri dan Limbang.


