ARTIKEL

Nukian ADIE ABD GANI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ADIE ABD GANI ialah nama pena bagi Adisuwandi Abd Gani yang lahir pada Mei 1988 di Tanjung Manis, Sarawak. Menulis karya secara serius terutamanya sajak moden dan cerpen sejak tahun 2022.

Terdapat beberapa karya beliau disiarkan di akhbar dan majalah tempatan seperti Suara Sarawak, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Sarawak, Majalah Tunas Cipta, Dewan Tamadun Islam, Dewan Masyarakat, Tukang Puisi, SelangorKini dan juga laman sastera luar negara seperti RiauSastra dan Akhbar Media Permata. Beliau turut meminati genre certot, pantun dan gurindam.

Antologi terkini beliau adalah BalanBalan (Meminta Uri), projek seram di bawah Narangkai Publications dan Antologi Secawan Kopi Edisi 12 dan Lelaki Kopi yang dikendalikan oleh Abuyon Studio.

Sajak beliau juga telah memenangi sagu hati untuk sayembara anjuran Majalah KayuApi Singapura bertemakan Sastera Hijau dan Paradoks pada tahun 2024. Karya terkini beliau bertajuk Mencintai Kamu tersiar di Dewan Sastera Edisi Mei/2026.

LABIRIN DAN TRAFIK SEBUAH KOTA

semenjak siang-siang di sini

hanya memantul silau kaca,

pejabat jadi rumah kedua

selain labirin gedung;

tiada lagi cinta, cerlang bersama pagi

setelah malam-malam di sini

hanya ilustrasi magis neon,

manusia burung hantu

dan trafik tak berkiamat;

tiada lagi rindu,

berdegup setelah senja.

W.P Kuala Lumpur

CANGKERANG MANUSIA

kukasihani siput yang santai mengengsot

di aspal jalan, di batas bunga

atau di padang rumput

berharapkan utuh cangkerangnya

ampuh melawan maut—

berakhir dilenyek tayar dan diinjak sepatu,

malah lecur disembur racun

lalu kukenang bongkak manusia

merasakan bercangkerang kebal

hanya kerana egonya tidak lut,

sedangkan sekelip mata

semua itu, Tuhan rentap dan cabut.

Kuching, Sarawak

CINTA SI RAMA-RAMA

biar selama usia sementara

aku hanya cintakan bunga

untuk manis madu, untuk merbak harum

dan mekar kelopak pelbagai warna

walau jauh atau dekat, aku mengerti

setiap gementar dan gelisah kuntum—

pabila dilayur bahang, diraba angin

serta sepi yang liar melata

biarlah kekasihku cuma bunga

saban siang dan malam

setiap tumbuh dan layu

meski diri ini ‘kan lenyap jua

diratah pemangsa.

Kuching, Sarawak

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU