ARTIKEL

nukilan BASRI ABDILLAH

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BASRI Abdillah @ Abang Basri Abang Abdillah lahir di Miri. Aktif dalam sastera tanah air sejak awal 1980-an sehingga kini. Menulis sajak, skrip drama pentas, esei/rencana sastera dan budaya, namun dominan dalam sajak. Menerbitkan tiga kumpulan sajak persendirian iaitu Riwayat Mangga Makrifat di Pohon Keramat (2017, ITBM, KL) dan Warna Sebenar Tak Dapat Disukat(2021, PUTERA/SYFE, KL). Pernah menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak. Memenangi hadiah utama dan sagu hati dalam sayembara menulis puisi peringkat serantau, Anugerah Puisi Dunia NUMERA anjuran NUMERA/DBP/PNB. Beliau merupakan ahli PUTERA dan pernah memegang jawatan Ketua II. Pernah bertugas di DBP Kuala Lumpur sehingga bersara. Sebelum bersara, beliau dipinjamkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai pensyarah Pengajian Melayu di Guangxi University for Nationalities, Nanning, Guangxi, Republik Rakyat China selama tujuh tahun.

LUAR CANTIK DALAM JELIK

Di luar cantik memikat

bersih dan berkilat

wajah kacak terlihat

dikerumuni puji nikmat

namun usah terpedaya

dek pesona rupa

kerap juga salah duga

kerana pada cermin

dalam diri yang diharap

licin tidak berkuap

rupanya ditimbus sarap

sarat dipenuhi lalat

dengan daki berkarat

yang tebal lagi melekat.

PERINTAH YANG WAJIB DITAAT

Kaubina rumah taubat

dengan kuat tiang solat

kaupintal hitam tasbih

hingga bertukar putih

kautadah sembah mendidih

seiring ringkik doa merintih.

Namun tiada apa yang kaudapat

selain kehausan penat

dan kelelahan letih

terisak-isak merafak perih

jika nama-Nya hanya disebut

berbuih-buih di mulut

tetapi di kalbu kedapatan

sekadar mahukan ganjaran

pahala berlebihan

agar terkumpul habuan

dalam cangkir nikmat.

Beringatlah, tidak ada tawaran

dengan suruhan Tuhan

apa pun kaubuat

itu perintah yang wajib ditaat. .

BAHASA KALBU

Kupendam kewujudan

saat sepi dan sunyi

dari angan ke lamunan

lewat kenang dan mimpi

kutoreh hati

dengan belati nurani

kubunuh nafsu

dengan sembilu kalbu

ketika kausenyap

aku rindu mengharap

kala kauhangat

aku panas menyengat

sewaktu-waktu kau mengeluh

aku yang runtuh luluh.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU