ARTIKEL

Nukilan Nazim Mohd Subari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NAZIM Mohd Subari, yang juga dikenali sebagai Nur Minda Hayat dan Nazim M.S., berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Jabatan Penulisan, Universiti Malaya (1992).

Beliau bergiat dalam penulisan sajak, cerpen, puisi tradisional dan anekdot. Antara kumpulan puisi beliau yang pernah diterbitkan ialah Serunai Damai, Sawah di Tengah Kota, Gurindam Warisan Ibunda, Gurindam Bunga Bangsa, Gurindam Sumbangsih Kasih, Idolaku, Semerbak Seloka, Wangi Setaman, Haruman Ilmu, dan Aku Ingin Menggenggam Kejayaan. Puisi beliau turut termuat dalam pelbagai antologi puisi bersama.

Selain itu, karya beliau pernah dimuatkan dalam Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan. Sepanjang pelibatan dalam bidang yang diminatinya ini, penulis berjaya memenangi beberapa hadiah sastera peringkat negeri dan kebangsaan seperti Hadiah Puisi Kebangsaan ShapaduGapena, Hadiah Sastera Darul Takzim, Anugerah Sastera Johor dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dalam kategori puisi eceran.

Penulis merupakan penerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor (2009) dan Anugerah Tokoh Puisi Johor (2025).

DI HUTAN TEBAL DIGITAL

Di sini

ada penggodam dan penipu

berkeliaran setiap hari

memburu mangsanya

yang dahaga dan keliru.

Di sini

ada mangsa yang terjerat

dalam jebak nafsu

dalam jerangkap kemewahan

hingga hilang maruah

dan harga keimanan.

Di hutan tebal digital

tidak bersempadan

kita harus waspada

merintis denai

memikat cahaya

bukannya terperdaya

oleh muslihat

penipu berwajah haloba.

Endau, Johor 17 Februari 2025

AKULAH PERANG

Akulah perang

tercipta dari lidah pendusta

lahir daripada nafsu tamak haloba.

Keluar dari mulutku

adalah api permusuhan

marak menyala keganasan.

Aku menjadi buas

bukan salahku menggemparkan dunia

tetapi kerana kebiadaban manusia.

Akulah perang

yang membenci diriku sendiri

tidak mampu mengembalikan tenang

ketika pemabuk kuasa

semakin dilelahkan mimpi.

Endau, Johor 10 April 2026 

KATA SENGKETA

Damai

aku ingin menjadi sepertimu

memayungi bumi sejahtera

meneduhi tanah permai.

Aku telah cukup bosan

dengan pertelagahan dan pergolakan

krisis dan penindasan

telah terlalu bosan aku

dengan kezaliman dan pembunuhan

setiap hari bertambah angka.

Damai

aku ingin menjadi sepertimu

dibelai dan dicintai

meronakan hamparan bahagia

membentangkan warna sentosa.

Malangnya

aku masih terkurung

di sangkar nafsu rakus serakah manusia

gila kuasa berebut bercakaran

mabuk kekayaan perang berpanjangan

kemanusiaan semakin berkecai

angkara aku ciptaan mereka.

Endau, Johor 25 Jun 2025

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU