
Abang Hut Abang Engkeh atau nama penanya Udaksan dilahirkan di Kampung Bungey Debak, Saribas, Sarawak.
Beliau ahli seumur hidup Persatuan Karyawan Sarawak (Pekasa).
Beliau mencetuskan idea menubuhkan Angkatan Karyawan Saribas (Aksar) dan dipilih sebagai peneraju angkatan tersebut bermula 2022.
Beliau mula aktif berpuisi sejak 2020.
Sehingga kini beberapa puisi beliau dimuatkan dalam beberapa antologi seperti Antologi Puisi Keistimewaan dan Keindahan Setempat Sarawak, Antologi Intifadah Palestin, Antologi Sonian Tujuh, Antologi Semarak Rindu IAB 2021, Antologi Puisi Politik Bila YB Dipalu Kompang dan Antologi Hujan Kata 2, Antologi Pesta Sonian 8 dan Antologi Jendela Yang Enggan Tertutup.
Di samping itu beberapa puisi beliau disiarkan di akhbar Suara Sarawak, Jurnal PEMUISI dan Buletin Kembara Sastera.
Kumpulan 100 Puisi: Mencari Tapak merupakan kumpulan puisi sulung beliau diterbitkan oleh Pustaka Dewan Beta, Kelantan.
Beliau juga meminati genre cerpen, novel dan kritikan sastera.
SEORANG IBU TUA
DAN INTIFADAH
Seorang ibu tua
berdiri di jendela
menunggu anak mudanya
sejak semalam tidak menjelma
dan seketika itu ibu tua diam terpaku
anak mudanya diusung terkujur layu
dengan bajunya berlumur darah
anak mudanya dibawa ke tengah rumah
tahulah sudah siibu tua
anak mudanya berkorban nyawa
demi sebuah negara berdaulat
intifadah di hatinya terpahat
ibu tua menyeka matanya
sambil tersenyum merafak doa
penuh harapan kepada Tuhan
bahagialah anaknya
di pangkuan ar-Rahman.
Kuching
7 Rabiulakhir 1445
22 Oktober 2023.
ANAK KECIL ITU
dan anak kecil itu pun rebah
di sebuah rumah kecilnya
di bumi Rafah
pecah dadanya berdarah
dirobek peluru
penjajah penjarah
nan tidak bermaruah
meraunglah si ibu muda
terkedu si ayah perkasa
anak kecil permata hati
baru sahaja mengenal diri
menikmati bunga-bunga cinta
di taman inderaloka
pulanglah duhai anak
ke pangkuan Tuhanmu
biarkanlah ibumu merafak doa
biarkanlah ayahmu
menentang penjajah penjarah
sehingga merdeka tanah nan indah
pusaka nenda
Kuching
8 Rabiulakhir 1445
23 Oktober 2023.
GAZA BERGOLAK LAGI
Gaza bergolak lagi
berantakan segalanya
ranap semua
jiwa luluh
nyawa menjadi rapuh.
Gaza bergolak lagi
darah merah memercik tinggi
cebisan daging berserakan
tulang-tulang patah bertaburan
kematian seperti diraikan.
Gaza bergolak lagi
seperti tiada hujungnya
PBB, OIC dan banyak lagi
sepi tiada suara.
9 Rabiulakhir 1445
24 Oktober 2023.



