KUCHING: Kejayaan mengharumkan nama Sarawak di pentas antarabangsa menjadi pembakar semangat kepada johan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2026, Nur Syakura Mohamad Musa, untuk melahirkan lebih ramai qari dan qariah berbakat di negeri ini.
Pencapaiannya itu turut mendapat penghargaan daripada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika Nur Syakura mengadakan kunjungan hormat bersama-sama delegasi Majlis Islam Sarawak (MIS) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Nur Syakura, Premier mengucapkan tahniah atas pencapaiannya yang berjaya mengharumkan nama Malaysia, khususnya Sarawak, di peringkat antarabangsa.
“Hasrat untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dalam bidang tilawah al-Quran merupakan antara usaha yang saya ingin teruskan bagi membimbing generasi pelapis mencapai kecemerlangan.
“Ini kerana, usaha untuk melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkebolehan amat penting bagi memastikan bakat dalam bidang ini terus berkembang, sekali gus mengangkat nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan tersebut.
Dalam kunjungan itu, beliau turut mempersembahkan trofi kemenangan yang diraihnya dalam pertandingan berprestij berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau turut berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mendalami al-Quran dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang tilawah.


