ARTIKEL

Juanda bersama-sama ahli Ombudsman Sarawak selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching, hari ini. FOTO: MOHD ALIF NONI

Ombudsman Sarawak Beroperasi Sepenuhnya, Perkukuh Fungsi Semak dan Imbang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ombudsman Sarawak kini beroperasi sepenuhnya dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang pengurusan serta pentadbiran agensi kerajaan negeri selepas pelantikan lima ahli badan berkenaan dimuktamadkan sejak Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, jumlah tersebut memenuhi syarat minimum yang diperuntukkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dengan had maksimum seramai tujuh ahli.

“Ombudsman Sarawak melapor terus kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan laporan tahunan akan dinilai menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas yang diluluskan dua hari lalu.

“Insya-Allah pada sesi akan datang, laporan tahunan itu akan dibentangkan di DUN Sarawak sebelum dinilai jawatankuasa berkenaan bagi memastikan segala cadangan, teguran dan rekomendasi dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai delegasi Ombudsman Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

“Ia melibatkan pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mana-mana pihak yang menerima emolumen daripada kerajaan negeri,” jelasnya.

Mengulas lanjut ujarnya, penubuhan institusi tersebut merupakan detik bersejarah kerana Sarawak menjadi satu-satunya wilayah di Malaysia yang mempunyai institusi Ombudsman sendiri.

Pada Rabu lalu, DUN Sarawak meluluskan usul kementerian bagi melantik ahli Jawatankuasa Pilihan Khas yang dipengerusikan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) dan turut dianggotai See Chee How (BEBAS-Batu Lintang), Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa), Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu), Anyi Jana (GPS-Ngemah) dan Royston Valentine (GPS-Tellian).
Pencalonan ahli jawatankuasa dibuat berdasarkan kepakaran, kecekapan dan kelayakan masing-masing selaras dengan Seksyen 42(3) Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 bagi memastikan segala laporan, teguran dan rekomendasi Ombudsman dipatuhi serta dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

TAMAT//

BERITA LAIN

BERITA TERBARU