KOTA SAMARAHAN: Jabatan Ombudsman Sarawak berpotensi dijadikan contoh utama kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkasakan peranan ombudsman di Malaysia.
Ombudsman Parlimen Denmark, Christian Britten Lundblad berkata, perkembangan pesat jabatan itu sejak ditubuhkan menunjukkan ia mendapat kepercayaan masyarakat, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam melaksanakan tugas termasuk menerima aduan terhadap pihak berkuasa awam.
“Saya percaya Ombudsman mempunyai masa depan yang cerah di Sarawak. Ia menjadi model contoh untuk Ombudsman Persekutuan seperti yang dimaklumkan kepada saya, dan perkara itu sedang dipertimbangkan.
“Cadangan itu adalah idea yang baik untuk membina kepercayaan masyarakat dan sebab itu saya yakin institusi Ombudsman Sarawak akan berkembang dengan pesat,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis lawatan rasmi delegasi Denmark yang terdiri daripada Ombudsman Parlimen Denmark dan Kedutaan Diraja Denmark di Malaysia di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini.
Menurutnya, keberkesanan gerak kerja Ombudsman Sarawak turut terbukti menerusi lawatannya ke jabatan tersebut baru-baru ini yang mendapati aduan berkaitan pihak berkuasa awam turut diterima di jabatan itu.
“Baru-baru ini saya melihat banyak aduan diterima oleh jabatan itu.
Saya menyangka rakyat Denmark banyak membuat aduan, tetapi rupanya rakyat Sarawak juga membuat aduan apabila terdapat pihak berkuasa awam tidak melaksanakan apa yang sepatutnya.
“Oleh itu, saya percaya Ombudsman Sarawak bekerja dan mempunyai masa depan yang cerah.
Mereka berjaya membina kepercayaan dalam masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Ombudsman Malaysia turut berkembang dengan baik, sekali gus menarik minat pihaknya untuk menjalinkan kerjasama lebih mendalam.
“Kita mendapati usaha penubuhan institusi Ombudsman di Malaysia sangat menarik dan kami percaya tugas yang sedang mereka lakukan amat penting sehingga mendorong kami datang dan bekerjasama.
“Saya telah banyak belajar sepanjang berada di sini. Harapan kami adalah untuk meneruskan kerjasama yang baik pada tahun-tahun akan datang,” katanya.


