SIMANGGANG: Empat lelaki dan tiga wanita ditahan dalam Op Dadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman kerana disyaki terlibat dalam penjualan judi loteri awam tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 33 tahun ditahan di empat lokasi berbeza.
“Bertindak atas aduan orang awam, kita telah menyerbu empat premis kedai secara serentak.
“Masing-masing dua individu ditahan di premis kedai dekat Jalan Durian, Bazar Sabu dan Jalan Hollis Taman Sri Jaya.
“Sementara seorang lagi ditahan di premis kedai dekat Jalan Club B,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semua ditahan kerana dipercayai menjalankan penjualan judi loteri awam tanpa lesen.
Hasil pemeriksaan, polis menjumpai dan seterusnya membuat rampasan terhadap barang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penjualan tersebut.
“Semua suspek dibawa ke IPD Sri Aman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.


