ARTIKEL

Op Perdagangan: Lima Saman Dikeluarkan di Bau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Kesalahan melibatkan lori yang menggunakan tayar botak dan membawa muatan berbahaya antara yang dikesan dalam Op Perdagangan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bau, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman, operasi selama dua jam bermula 10.30 pagi itu dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Bau-Kuching, Jalan Bau-Lundu, Jalan Siniawan, Pekan Bau dan Pekan Siniawan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima kesalahan lalu lintas dilakukan pemandu kenderaan berat, sekali gus membawa kepada pengeluaran lima saman atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Daripada jumlah itu tambah Mohd Haide, dua saman dikeluarkan kerana kesalahan menggunakan tayar botak, manakala dua lagi membabitkan muatan yang tidak disusun dengan kemas serta berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.

Satu lagi saman katanya dikeluarkan ke atas sebuah lori yang didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

“Sepanjang operasi, seramai 26 individu dan 23 kenderaan diperiksa melibatkan motosikal, motokar, pacuan empat roda serta lori.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan, rampasan atau sitaan dilakukan sepanjang operasi berkenaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Haide berkata, operasi tersebut dilaksanakan sebagai usaha berterusan untuk memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya dengan peraturan lalu lintas, khususnya melibatkan kenderaan perdagangan.

Pada masa sama katanya, tindakan penguatkuasaan turut bertujuan mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pemilik dan pemandu kenderaan dalam memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU