KUCHING: Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT) dilanjutkan selama dua minggu bagi membendung isu penyeludupan beras putih import (BPI) bersubsidi ke negara jiran.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Chin berkata, lanjutan operasi terbabit dipersetujui hasil mesyuarat mingguan pasukan khas Op BPT di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Khamis lalu.
“Mesyuarat bersetuju supaya operasi khas ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 17 November bagi mempergiatkan operasi terutama di Sabah dan Sarawak.
“Melalui pelanjutan ini, penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dijalankan di pintu masuk sempadan kedua-dua negeri ini, serta diperketatkan bagi mengelakkan ketirisan subsidi dan pembaziran wang negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, hari ini.
Chan yang juga merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas Op BPT menegaskan sebanyak 196 pemeriksaan premis telah dijalankan sehingga 1 November lalu.
Katanya, pemeriksaan meliputi 71 buah kilang, 113 pemborong dan 12 peruncit di Semenanjung melibatkan kerjasama daripada beberapa penguat kuasa seperti PDRM, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kastam, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sehingga kini katanya, sebanyak tiga kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan sembilan kes di bawah KPDN telah dikenal pasti.
Beliau dalam pada itu mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan BPI, menyeludup keluar, atau pun menyembunyikan bekalan BPI dan BPT.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkenaan isu bekalan beras boleh menyalurkan melalui hotline aduan 03-8870 2393/2207.


