Operasi cari lelaki hilang di Marudi temui jalan buntu pada hari ini

MIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang selepas keluar memancing di Pangkalan Rembai, Sungai Melikat, Marudi di sini, yang memasuki hari kedua hari ini masih gagal menemui mangsa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba) Sarawak, usaha pencarian telah diperluaskan sehingga 10 kilometer radius dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.

Katanya, operasi SAR dijalankan di sepanjang laluan ke lokasi tempat mangsa memancing.

“Pencarian menggunakan teknik ‘Follow the Stream’ juga telah dilakukan di sepanjang tebing anak sungai tempat si mangsa memancing.

“Tetapi, sehingga petang ini, belum ada petunjuk positif,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, operasi ditangguhkan pada jam 5 petang kerana cuaca hujan dan hampir gelap.

Mangsa, Cassidy Ali, 23, disyaki hilang selepas keluar memancing bersama rakannya di anak sungai yang jarak dianggarkan 40 minit berjalan kaki daripada rumah panjang, Jumaat lalu.