MIRI: Operasi membawa pasukan bantuan dan forensik ke lokasi nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, berdepan kelewatan apabila keadaan cuaca tidak mengizinkan penerbangan dari Miri, pagi tadi.
Seramai 20 personel daripada beberapa agensi bersiap sedia untuk digerakkan ke lokasi menggunakan helikopter MI-171 (M994-04) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pergerakan pasukan itu dirancang secara berperingkat, dengan pasukan operasi dihantar terlebih dahulu sebelum penerbangan kedua membawa anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil berkata, anggota polis yang ditugaskan ke lokasi masih belum tiba setakat 9 pagi.
“Anggota polis kita masih belum sampai ke lokasi. Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media selepas menerima maklumat daripada anggota yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp.
Pasukan yang dipersiapkan itu membabitkan 15 anggota JBPM, tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi serta wakil Layang-Layang Aerospace dan Malaysia Airports Berhad (MAB).
Bagaimanapun, usaha menggerakkan pasukan ke Long Lellang bukan sahaja bergantung kepada keadaan cuaca, malah berdepan kekangan akses ke kawasan pedalaman berkenaan.

Long Lellang ketika ini hanya boleh diakses melalui bekas jalan pembalakan selain menggunakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), manakala perjalanan melalui jalan darat mengambil masa kira-kira 10 jam.
Tempoh perjalanan itu bagaimanapun boleh berubah bergantung kepada keadaan jalan dan cuaca.
Sebelum penerbangan dilaksanakan, semua anggota terlibat menghadiri taklimat operasi di Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, JBPM di Miri.
Taklimat yang disampaikan Penguasa Kanan Bomba II, Kapten Robert James itu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan penerbangan, keadaan cuaca, keperluan logistik dan pelaksanaan operasi di lokasi kejadian.
Ia turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala; Residen Bahagian Miri, Galong Luang; Ketua Polis Daerah Miri serta ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.
Dalam perkembangan berkaitan, semua penerbangan komersial ke Long Lellang digantung mulai hari ini bagi memberi laluan kepada operasi siasatan susulan nahas berkenaan.
Terdahulu, sebuah helikopter yang menjalankan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang pada petang semalam.
Setakat laporan ini ditulis, status kelima-lima individu yang berada dalam helikopter terbabit masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.


