KUCHING: Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan sejak Mei lalu terbukti berkesan dalam membantu menstabilkan paras air di beberapa empangan utama Sarawak yang terjejas akibat cuaca panas dan kering.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi pembenihan awan selama dua hari bermula hari ini dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi meningkatkan simpanan air mentah di kawasan tadahan strategik negeri ini.

“Operasi yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu memberi tumpuan kepada beberapa empangan utama iaitu Batang Ai, Bakun, Murum dan Bengoh.
“Kerajaan Sarawak amat menghargai usaha NADMA dan semua agensi yang terlibat kerana keadaan cuaca masih panas dan kering, manakala paras air di beberapa empangan utama belum menunjukkan peningkatan yang memuaskan,” katanya selepas melancarkan operasi tersebut di Pangkalan Udara Kuching, hari ini.
Uggah berkata, kaedah pembenihan awan menggunakan garam sebagai agen penyemaian awan adalah selamat dan telah digunakan secara meluas tanpa melibatkan bahan kimia berbahaya.
“Keberkesanan operasi bergantung kepada keadaan cuaca, arah angin serta kewujudan awan yang sesuai untuk proses pembenihan.
“Jika keadaan langit terlalu cerah dan tiada awan berpotensi, operasi ini tidak dapat dilaksanakan secara berkesan,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan langkah berkenaan amat penting bagi meningkatkan peluang berlakunya hujan, sekali gus membantu menambah simpanan air mentah yang diperlukan untuk bekalan domestik dan penjanaan tenaga hidroelektrik.
“Berkenaan status empangan utama, Empangan Batang Ai kini berada pada Paras Kecemasan Tahap 1 dengan bacaan 102.36 meter aras laut, manakala Empangan Bakun telah memasuki Paras Kecemasan Kemarau Tahap 1 pada bacaan 211.63 meter aras laut.
“Empangan Murum turut merekodkan status kejadian kemarau dengan bacaan 529.11 meter aras laut, sementara Empangan Bengoh masih berada pada paras normal iaitu 78.89 meter aras laut dan terus beroperasi seperti biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran terbuka dan jerebu.
“Kawasan berisiko tinggi seperti Kuala Baram terus dipantau rapi melalui pemerhatian lapangan, penggunaan dron serta pelaksanaan langkah mitigasi termasuk pembinaan telaga tiub, sekatan air dan menara pemantauan.
“Langkah paling penting ialah tindakan segera sebaik sahaja asap dikesan tanpa menunggu api merebak, kerana keadaan tanah gambut yang kering boleh menyebabkan kebakaran lebih sukar dikawal,” katanya.
Operasi pembenihan awan itu melibatkan kerjasama NADMA, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Sarawak Energy Berhad (SEB) serta beberapa agensi berkaitan dalam usaha memastikan kelestarian sumber air dan kesejahteraan rakyat Sarawak sepanjang musim kering.


