KUCHING: Operasi pembenihan awan (OPA) siri ketiga bermula hari ini dengan Batang Ai, Bakun dan Murum disasarkan untuk meningkatkan paras air di kawasan tersebut selain mengurangkan kesan jerebu yang melanda negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi ini melibatkan pembenihan di kawasan tiga empangan dan 13 kawasan tadahan air di lima bahagian di negeri ini.

Katanya, OPA juga dilaksanakan esok hingga 5 September, tertakluk kepada keadaan dan kelompok awan yang sesuai.
“Matlamat adalah untuk meningkatkan jumlah takungan air di tempat-tempat tersebut,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, di sini hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, berdasarkan taklimat yang diterima, dijangka cuaca akan lebih panas pada Oktober, sekali gus dibimbangi boleh menjejaskan paras air di empangan dan kawasan tadahan.
Menurutnya, pelaksanaan operasi pembenihan awan sebelum ini menunjukkan kesan positif apabila paras air di Empangan Murum dan Bakun meningkat selepas operasi dilaksanakan.
Dalam pada itu, Uggah berkata, kerajaan Sarawak turut mengambil langkah segera bagi membantu penduduk yang berdepan masalah bekalan air susulan keadaan cuaca kering.
Beliau berkata, satu petunjuk prestasi utama (KPI) turut ditetapkan bagi memastikan bantuan bekalan air disalurkan dalam tempoh 12 jam selepas aduan diterima.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan menganalisis keadaan atmosfera sebelum dan sepanjang operasi menggunakan data radar cuaca, imej satelit, pemerhatian permukaan serta model ramalan cuaca bagi menentukan lokasi, masa dan kelompok awan yang sesuai untuk pembenihan.
Setiap penerbangan pembenihan awan menggunakan empat tangki larutan garam, dengan setiap tangki mengandungi 200 kilogram garam yang dilarutkan dengan 1,500 liter air.
Operasi berkenaan turut membabitkan NADMA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), MetMalaysia, JBALB, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), CAAM, PDRM, Sarawak Energy Berhad (SEB), Sarawak Water Sdn Bhd, TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).


