Operasi penguatkuasaan pengairan Bintulu tetap dijalankan semasa Ramadan

BINTULU: Meskipun bulan Ramadan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu tetap melaksanakan operasi penguatkuasaan di laut terutama di perairan Bintulu seperti lazim demi memastikan tiada pelanggaran undang-undang oleh komuniti maritim setempat dan pencerobohan nelayan asing.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata sebagai barisan hadapan, APMM juga bertanggungjawab dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-4 bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Dalam hal ini, katanya, anggota APMM sedar kepentingan dan tanggungjawap menjaga keselamatan perairan negara mengatasi segalanya walaupun terpaksa menjalani ibadah berpuasa dalam keadaan panas terik, berbuka dan bersahur di laut.

Kebiasaannya anggota dan pegawai yang bertugas akan berbuka puasa secara bergilir kerana tugasan di lautan dalam kawasan operasi memerlukan tumpuan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan di dalam perairan negara, katanya lagi.

Namun, bagi memastikan keselamatan kapal serta anak-anak kapal, tiada kompromi diberikan walaupun dalam keadaan berpuasa, ujarnya.

Menurut Shahref lagi, biarpun tidak dapat berbuka puasa bersama ahli keluarga, kebajikan anggota Maritim Malaysia sentiasa dijaga seperti penyediaan juadah berbuka puasa dan bersahur walaupun tidak semewah orang lain yang berbuka puasa dalam suasana selesa sebaliknya memadai untuk alas perut.

Kekurangan ini tidak sesekali mematahkan semangat anggota Maritim Malaysia dalam menjalankan amanah yang telah diberikan sebagai perwira di perbatasan negara dan barisan hadapan dalam membantu negara kita melawan wabak virus Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berterusan mengingatkan komuniti Maritim untuk sentiasa mematuhi PKP yang telah memasuki fasa ke-4 mulai 29 April sehingga 12 Mei 2020.

Sekiranya, melanggar mana-mana arahan atau perintah,individu boleh diambil tindakan iaitu hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, tegasnya.

Justeru, beliau berharap komuniti maritim terutamanya di Bintulu mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan mematuhi semua arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia.

Maritim Malaysia, tambahnya, sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan kemalangan di laut secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254.

Suara Sarawak